Perkahwinan
yang disyariatkan dalam Islam bertujuan untuk menjaga institusi kekeluargaan
dan keturunan manusia. Perkahwinan adalah sunnah yang dinjurkan oleh Rasulullah
saw. Antara hakikat perkahwinan yang harus diketahui ialah sebagai penyambung
generasi manusia. Seperti firman Allah swt dalam Surah An-Nisa’ ayat 1:
“Wahai sekalian manusia bertaqwalah
kamu kepada Tuhanmu yang telah menjadikan kamu dari satu diri (Adam) lalu ia
jadikan daripadanya isteri (Hawa), kemudian dikembangkan dari keduanya lelaki
dan perempuan yang banyak.”
Selain
itu, hakikat perkahwinan juga adalah untuk memelihara keturunan (Mustafa Daud,
1991). Sifat manusia yang dianugerahkan oleh Allah swt dengan naluri seks akan
mudah terdedah dengan kebinasaan yang boleh merosakkan dan memusnahkan
keturunan. Contohnya, melalui perhubungan seks bebas melahirkan anak luar nikah
dan akhirnya dibuang ke dalam tong sampah dan sebagainya.
Melalui
perkahwinan juga seseorang individu akan mendapat anak yang ramai. Anak yang
soleh merupakan harta yang paling bernilai kerana memberi manfaat di dunia dan
akhirat. Perkahwinan juga adalah jalan untuk mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.
Dunia sebagai kebahagiaan jasmani dan rohani ibu, bapa dan anak-anak. Di
akhirat pula akan mendapat ganjaran syurga.
Antara
yang penting dalam hakikat perkahwinan ialah sebagai penyaluran naluri seks.
Sekiranya disalurkan kepada tempat yang salah akan menimbulkan kemudaratan
seperti penyakit syphilis, AIDS dan
sebagainya. Institusi kekeluargaan akan menjadi hancur dan huru hara kerana
lahirnya anak haram yang tidak diketahui nasab sebenar.
Islam amat mementingkan umatnya supaya menjaga syariat yang telah
diturunkan oleh Allah swt. Syariat ini adalah untuk menjaga kemaslahatan dan
kesejateraan umatnya.





