Sunday, 13 December 2015


Perkahwinan yang disyariatkan dalam Islam bertujuan untuk menjaga institusi kekeluargaan dan keturunan manusia. Perkahwinan adalah sunnah yang dinjurkan oleh Rasulullah saw. Antara hakikat perkahwinan yang harus diketahui ialah sebagai penyambung generasi manusia. Seperti firman Allah swt dalam Surah An-Nisa’ ayat 1:
“Wahai sekalian manusia bertaqwalah kamu kepada Tuhanmu yang telah menjadikan kamu dari satu diri (Adam) lalu ia jadikan daripadanya isteri (Hawa), kemudian dikembangkan dari keduanya lelaki dan perempuan yang banyak.”
Selain itu, hakikat perkahwinan juga adalah untuk memelihara keturunan (Mustafa Daud, 1991). Sifat manusia yang dianugerahkan oleh Allah swt dengan naluri seks akan mudah terdedah dengan kebinasaan yang boleh merosakkan dan memusnahkan keturunan. Contohnya, melalui perhubungan seks bebas melahirkan anak luar nikah dan akhirnya dibuang ke dalam tong sampah dan sebagainya.

Melalui perkahwinan juga seseorang individu akan mendapat anak yang ramai. Anak yang soleh merupakan harta yang paling bernilai kerana memberi manfaat di dunia dan akhirat. Perkahwinan juga adalah jalan untuk mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat. Dunia sebagai kebahagiaan jasmani dan rohani ibu, bapa dan anak-anak. Di akhirat pula akan mendapat ganjaran syurga.


Antara yang penting dalam hakikat perkahwinan ialah sebagai penyaluran naluri seks. Sekiranya disalurkan kepada tempat yang salah akan menimbulkan kemudaratan seperti penyakit syphilis, AIDS dan sebagainya. Institusi kekeluargaan akan menjadi hancur dan huru hara kerana lahirnya anak haram yang tidak diketahui nasab sebenar. 
Islam amat mementingkan umatnya supaya menjaga syariat yang telah diturunkan oleh Allah swt. Syariat ini adalah untuk menjaga kemaslahatan dan kesejateraan umatnya.